SPR tetapkan 24 Februari penamaan calon, tempoh kempen 13 hari
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-12 pada Ahad 24 Februari ini, manakala pengundian pada Sabtu, 8 Mac, dengan tempoh berkempen selama 13 hari, yang terpanjang dalam tempoh 22 tahun.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, berkata tempoh berkempen selama 13 hari itu lebih daripada mencukupi, malah melebihi purata sembilan hari pada kebanyakan pilihan raya umum sebelum ini.
Tempoh berkempen paling pendek ialah lapan hari iaitu pada Pilihan Raya Umum 2004 manakala yang terpanjang selama 35 hari pada 1964 dan 1969. Bagaimanapun, tempoh berkempen pada pilihan raya pertama sebelum merdeka lebih panjang iaitu 42 hari.
Abdul Rashid menjelaskan, SPR mengambil kira aspek keselamatan dan ketenteraman awam apabila menetapkan tempoh berkempen.
"Ada parti minta 21 hari untuk berkempen. Kalau nak layan semua parti, kita tak ada tarikh untuk pilihan raya. Kita tak mahu tempoh terlalu panjang kerana di negara kita banyak perkara sensitif yang boleh dimanipulasi pihak tertentu," katanya selepas mesyuarat ahli panel SPR di sini, semalam.
Sebanyak 10,922,139 pemilih termasuk 221,085 pengundi pos layak mengundi pada pilihan raya umum kali ini berdasarkan Daftar Induk Pemilih 2007 yang diwartakan pada 5 Februari lalu selepas dikemas kini sehingga 31 Disember lalu.
Pada masa sama, 30 parti politik yang berdaftar dengan SPR boleh bertanding bagi merebut 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), kecuali DUN Sarawak.
Abdul Rashid berkata, writ pilihan raya umum akan dikeluarkan hari ini, manakala notisnya pula esok.
Parlimen dibubarkan kelmarin, kira-kira 15 bulan sebelum berakhir penggal lima tahunnya. Pembubaran Parlimen itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan serentak itu semua negeri membubarkan DUN masing-masing, kecuali Sarawak yang baru mengadakan pilihan raya negeri pada Mei 2006.
Abdul Rashid mengingatkan semua pihak, terutama parti politik, calon, petugas parti dan individu yang terbabit dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 supaya memberi kerja sama kepada SPR dan sentiasa mematuhi undang-undang, prosedur serta tatasusila berkempen.
Beliau percaya peratusan keluar mengundi pada pilihan raya umum kali ini akan lebih tinggi berbanding purata antara 74 hingga 75 peratus sebelum ini kerana lebih ramai yang ingin terbabit dalam proses pengundian.
Sumber: Berita Harian