Komuniti Al-Insyirah
Would you like to react to this message? Create an account in a few clicks or log in to continue.
Komuniti Al-Insyirah

islamic finance, banking, career, peace.

Ruang Download Section dah dibuka, sila gunakan sebaiknya

You are not connected. Please login or register

09/01/2008 - Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional

Go down  Message [Page 1 of 1]

dheadz

dheadz
Admin
Admin

Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional Malaysia Banyak Membantu

Oleh Rashidah Abd Ghani

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Usaha kerajaan memasang pelampung/boya di dua kawasan perairan kini menampakkan kesannya apabila ia berupaya memantau kejadian gempa bumi dan tsunami dalam tempoh 15 minit setiap kali selepas berlakunya gempa bumi.

Keupayaan ini dapat dibuktikan apabila penduduk berdekatan dapat menerima amaran awal semasa kejadian gempa-gempa bumi kuat yang berlaku di Pulau Nias, Sumatera pada 28 Mac 2005; Pengandaran, Pulau Jawa pada 17 Julai 2006; Taiwan pada 26 Disember 2006; dan Bengkulu, Sumatera pada 12 September 2007.

Secara tidak langsung kawasan-kawasan yang berdekatan dengan kedudukan pelampung itu juga menikmati faedah hasil penempatannya, yang merupakan antara komponen utama di bawah Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional Malaysia (SAATNM).

Perkara ini diakui oleh Pengarah Bahagian Geofizik dan Tsunami Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr Muhammad Rosaidi Che Abas, kepada BERNAMA, yang menjelaskan di bawah sistem SAATNM, dua pelampung/boya telah ditempatkan di Pulau Rondo, Indonesia, pada 30 Disember 2005 dan di Pulau Layang-Layang, Sabah pada 7 Mac 2006.

Manakala satu lagi pelampung akan dipasang di Laut Sulu, katanya dan menambah ia masih dalam peringkat perundingan dengan kerajaan Filipina bagi mendapatkan persetujuan.

Bagi Malaysia susulan daripada bencana 26 Disember 2004 itu, Kerajaan memutuskan agar SAATNM diwujudkan supaya amaran awal dapat dikeluarkan kepada penduduk di kawasan pantai sekiranya berlaku tsunami.

Pelaksanaan ini telah dilaksanakan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) pada tahun 2005.

KOMPONEN UTAMA SAATNM

Menjelas lanjut mengenai sistem SAATNM itu Dr Rosaidi berkata, ia terdiri daripada tiga komponen utama iaitu komponen pengumpulan data dan maklumat, komponen pemprosesan, dan komponen penyebaran.

SAATNM juga digabungkan dengan sistem Amaran Awal Bencana lain seperti amaran cuaca buruk dan laut bergelora.

Di peringkat negara, Komponen Pengumpulan Data SAATNM terdiri daripada 14 buah stesen seismik iaitu di Kulim, Ipoh, FRIM, Kluang, Kota Tinggi, Kuala Terengganu, Kuching, Sibu, Bintulu, Sandakan, Kota Kinabalu, Kudat, Lahat Datu dan Tawau di samping tiga buah pelampung tsunami, enam buah stesen tolok pasang surut (Porto Malai, Pulau Perak, Teluk Bahang, Pulau Perhentian, Kudat dan Lahat Datu), dan empat buah kamera pantai (Pantai Chenang, Kuala Muda, Batu Feringgi dan Pasir Panjang).

Menurut Rosaidi, komponen pemprosesan terdiri daripada perisian bagi penentuan lokasi dan magnitud gempa bumi, dan output pemodelan tsunami yang menentukan tempoh ombak tsunami sampai ke perairan negara serta ketinggian ombaknya bagi sesuatu lokasi gempa bumi dasar laut.

Komponen penyebaran pula mempunyai 13 buah siren, yang antaranya di Pantai Chenang, Kuala Kedah, Tanjung Bunggah, Batu Feringgi, Teluk Bahang, Kuala Sungai Muda, Kuala Kurau, Teluk Cempedak, Sandakan, Semporna dan Tawau), dan sistem-sistem penyampaian maklumat yang lain iaitu faksimile, telefon, talian hotline, SMS, dan laman web.

Fungsi komponen penyebaran ini bertujuan bagi membolehkan lebih ramai orang dimaklumkan mengenai kejadian bencana apabila ianya berlaku.

Penyebaran juga, kata Rosaidi, akan disalurkan melalui talian tetap telefon yang sedang dibangunkan oleh Telekom Malaysia untuk penghebahan mesej amaran kepada orang ramai di kawasan yang terancam bencana.

SAATNM DIHUBUNGKAN DI PERINGKAT ANTARABANGSA

Di peringkat serantau dan antarabangsa pula, SAATNM dihubungkan dengan 25 buah stesen seismik dan 36 buah stesen pasang surut secara masa nyata (real-time).

SAATNM juga dihubungkan secara terus dengan pusat-pusat antarabangsa seperti Pacific Tsunami Warning Center (PTWC) di Hawaii, Amerika Syarikat, Pusat Amaran Awal Tsunami Agensi Meteorologi Jepun dan Biro Meteorologi dan Geofizika (BMG), Indonesia.

"Kesemua maklumat ini memberi kelebihan kepada SAATNM bagi memberikan maklumat lebih tepat tentang kejadian gempa bumi dan tsunami," katanya lagi.

PELBAGAI LANGKAH UNTUK MEMPERKASA SAATNM

Bagi menambah kecekapan dan keberkesanan SAATNM serta membolehkan SAATNM menjadi satu sistem yang terbaik di rantau ini, JMM telah merancang untuk memperkasakan SAATNM di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan.

Perkasaan SAATNM ini melibatkan perluasan kawasan pemantauan bagi meningkatkan ketepatan analisis iaitu penambahan stesen-stesen seismik, tolok pasang surut, kamera pantai dan siren.

"JMM juga sedang melengkapkan pangkalan data pemodelan tsunami bagi menyimpan pelbagai senario gempa bumi di Lautan Hindi, Laut China Selatan, Lautan Pacifik, Laut Sulu dan Laut Sulawesi berdasarkan kepada data sejarah yang berpotensi mencetuskan tsunami," kata Rosaidi.

Dengan wujudnya pangkalan data pemodelan tsunami yang lengkap, sebarang gempa bumi yang mencetuskan tsunami boleh dipadankan dengan data-data yang tersimpan di dalam pangkalan data untuk digunakan bagi penilaian ancaman tsunami kepada negara.

Di samping itu, JMM sedang bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Di Raja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Penerangan dan agensi-agensi pengurusan bencana dalam melaksanakan Kempen Kesedaran Awam mengenai bencana tsunami serta menjalankan latihamal (drill).

KHIDMAT NASIHAT PAKAR DARI LUAR

Dr Rosaidi berkata, pada masa sama, JMM juga mendapatkan nasihat kepakaran daripada agensi-agensi antarabangsa yang telah mewujudkan sistem amaran awal tsunami yang mantap seperti Agensi Meteorologi Jepun.

Khidmat nasihat itu juga diperolehi daripada agensi yang mempunyai pengalaman dalam melaksanakan program kesedaran awam dan pengurangan bencana seperti Asian Disaster Reduction Center (ADRC) di Jepun.

"Rujukan nasihat daripada agensi-agensi berkenaan bertujuan bagi membolehkannya membuat penilaian ke atas SAATNM dan mengemukakan syor-syor untuk digunapakai dalam proses penambahbaikan SAATNM," kata Dr Rosaidi.

Untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran kakitangan, di samping memperkukuhkan jalinan antarabangsa, JMM telah menganjurkan beberapa siri dialog, bengkel, seminar dan latihan antarabangsa di Malaysia.

Ia dijalankan secara bersama dengan badan-badan antarabangsa seperti United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization-Intergovernmental Oceanic Commission (UNESCO-IOC) dan United States Geological Survey (USGS), Amerika Syarikat.

-- BERNAMA

Back to top  Message [Page 1 of 1]

Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum