Komuniti Al-Insyirah
Would you like to react to this message? Create an account in a few clicks or log in to continue.
Komuniti Al-Insyirah

islamic finance, banking, career, peace.

Ruang Download Section dah dibuka, sila gunakan sebaiknya
Similar topics

You are not connected. Please login or register

[cerpen] Biarkan Kami Bercinta

2 posters

Go down  Message [Page 1 of 1]

1[cerpen] Biarkan Kami Bercinta Empty [cerpen] Biarkan Kami Bercinta Tue Oct 06, 2009 1:24 pm

insyirah

insyirah
Moderator
Moderator

[1]

Hujung tudung aku basah dengan air mata, hari ini bermula satu pengembaraan hidup yang baru. Turning point bagi umat manusia, apabila berumah tangga dan segalanya pasti berbeza walau sedikit. Semoga amanah ini mampu kami laksanakan bersama, permudahkanlah ya Allah.

"Aku nikahkan engkau, Muhammad Umar Bin Abdul Rahman dengan Nur Sakinah Binti Mustafa dengan mas kahwin RM 90 tunai."

"Aku terima nikahnya Nur Sakinah Binti Mustafa dengan mas kahwin RM90 tunai."

Ayah sendiri mahu mengaqad nikahkan kami. Semoga keredhaan ayah dan ibu membawa berkat kepada baitul muslim yang dibina.

[2]

"Beg sayang dah siap ke? Sayang tak sihat ke?"

Suamiku, lelaki yang 'asing' dalam hidupku tiba-tiba menjadi yang paling akrab disisiku. Aneh sekali perasaan ini, kalau dulu terasa seperti disimbah minyak panas diraut muka setiap kali namanya disebut ayah dan ibu, kini perasaan itu beransur pergi tetapi aku masih malu. Malu yang aku sendiri sukar untuk mendefisinikan dari manakah malu ini datang, mungkin juga kerana malu yang dititipkan dari Allah kepada wanita Islam, malu itu sebahagian dari iman...

Dia, lelaki yang sanggup menerima aku seadanya. Sebulan sebelum diaqad nikahkan, aku utarakan sekali lagi soalan kepada bekas tunang yang kini menjadi suami aku yang sah.

"Anta sanggupkah menerima tanggungjawab ini?" Soalan yang nampak zahirnya di hati aku sebagai wanita yang meragui dirinya. Bukan itu, tetapi aku mahukan kepastian hati lelakinya.

"Insya Allah, amanah Allah akan sedaya upaya ana pelihara. Sekiranya satu hari nanti Allah takdirkan anti lumpuh tak berdaya, selagi amanah itu terpikul di bahu ana, ana akan laksanakan sebaiknya. Tetapi ana yakin sekali, selagi usaha dan doa diteruskan insya Allah kita masih punya peluang."

Aku terkedu dengan bicara dia menyebut jelas 'sekiranya satu hari nanti Allah takdirkan anti lumpuh tak berdaya' membuatkan hati ana tenang, semoga Allah menjauhkan kami dari ujian yang tidak berdaya kami pikul.

"Sayang, diam saja... Termenung apa?" Soalannya tidak aku jawab sebentar tadi.

"Tak ada apa-apa, anugerah Allah... Dia sentiasa bersama orang yang sabar. Terima kasih kerana menerima diri yang dhoif ini seadanya." Aku melemparkan senyuman namun titis air mata tak mampu aku tahan, sukar sekali aku gambarkan perasaan ini.

"Menangislah andai air mata itu kerana syukur atas nikmat Allah. Moga kita dikalangan hamba Allah yang sentiasa bersyukur atas setiap nikmat dan ujian."

'Alhamdulillah. Terima kasih ya Allah atas nikmat ini...'

"Abang, esok kita bertolak dari rumah jam berapa?"

"Insya Allah, selepas Subuh nanti Mak Lang dan Pak Lang datang. Kita hanya menanti Mak Lang dan Pak Lang, mereka nak sangat menghantar di KLIA. Kita kena check-in jam 12 tengah hari dan flight pula insya Allah jam 2 petang."

"Kenapa awal sangat check-in? Solat Zohor dimana kalau flight jam 2 petang?"

"Sayang jangan risau, selagi mana menutup aurat sayang nak solat dimana-mana pun tak apa selagi tempat itu tidak ada najis. Islam kan mudah." Aku termalu sendiri dengan kata-kata yang sedikit ditekankan pada perkataan 'islam kan mudah'.

"Iya la... Mana sayang tahu. Kenapa check-in awal ye abang?"

"Nak masuk luggage, kemudian kita check-in boleh la keluarga semua balik tak perlu tunggu kita, apabila sudah check-in kita rehat saja dalam KLIA di ruangan menunggu, kita tak terkejar-kejar dan keluarga pun boleh balik. Kemudian masuk waktu Zohor kita solat jamak qasar terus, insya Allah kalau flight jam 2 petang selalunya 1.45 petang kita mesti kena ada dalam flight. Sebab itu abang suka awal-awal, boleh santai dan tak tergesa-gesa."

"Insya Allah."

"Beg sayang dah siap?"

"Alhamdulillah, dah siap."

[2]

Allahuakbar Allahuakbar...
Allahuakbar Allahuakbar...

Laungan jelas berkumandang dari Masjid Nabawi. Sedang kami masih kepenatan menurunkan barang-barang dari perut bas, laungan azan pertama dari Masjid Nabawi memberi suntikan halawatul iman dan cas tenaga yang hilang dari permusafiran panjang kami.

"Alhamdulillah... Kita selamat tiba di Madinah al-Munawwarah. Azan pertama sudah berkumandang, ini belum masuk waktu lagi ye tuan-tuan, puan-puan. Kita akan masuk bilik untuk simpan barang, kemudian terus turun untuk solat Subuh berjemaah di masjid. Dalam masa 20 minit lagi, berkumpul di lobi ye."

Suara mutawif kedengaran jelas. Dalam diam, aku tersenyum.

"Tuan-tuan, puan-puan tetamu Allah sekalian, tidak perlu mandi dulu ye bimbang kelewatan. Ambil wuduk, kalau mahu tukar pakaian iya silakan tetapi tidak perlu mandi dulu ya."

Dialek mutawif jelas, beliau seorang warga Indonesia.

"Mutawif Indonesia ye abang?"

"Iya, jarang pelajar Malaysia nak jadi mutawif melainkan musim haji. Pelajar Malaysia ni 'kaya-kaya' hanya perlu belajar dan belajar. Itulah perspektif pelajar asing kepada penuntut Malaysia di luar negara." Suami masih tersenyum walau raut wajahnya jelas kepenatan.

[3]

"Sayang... Bangun, qiamullail."

Aku masih berpisat mata, baru terasa mahu meletakkan kepala tetapi sudah dikejutkan. Perbezaan waktu di Malaysia dan Madinah hampir membuatkan aku diusung kantuk tak berkesudahan. Di Madinah baru jam 8 malam, di Malaysia sebenarnya sudah jam 1 pagi.

"Sayang demam ni, panasnya badan..."

Aku mencari bungkusan ubat, semalam aku terlupa mengambil vitamin. Penyakit kanser darah aku terkadang membuatkan aku jadi lemah seluruh badan, suhu badan juga mudah naik akibat antibodi aku yang lemah. Mudah saja aku diserang demam, bahkan berhari-hari boleh berlarut hingga berbulan.

"Sayang lupa makan vitamin semalam."

"Subhanallah, ni yang abang nak bagi kuliah sebelum subuh. Kenapa sayang boleh lupa makan vitamin? Panas badan sayang ni..."

Aku tersenyum, penyakit zahir aku seakan hilang kerana merasa lucu melihat muka sang kekasih yang menahan geram.

"Apa senyum-senyum? Sayang ingat senyuman sayang tu akan buat sayang terlepas ke? Makan vitamin sekarang juga, kalau tidak abang..."

"Abang nak apa kalau sayang tak nak makan?"

"Abang merajuk. Nusyuz tau tak dengar cakap suami."

Terhambur ketawa, arh... Semuanya kelihatan manis dan indah. Muncung suami sepanjang 2 inci juga tampak lucu dan comel, ini permulaan kembara kami. Ujian di depan tak mampu kami ramalkan. Allahu Rabbi.

"Sayang nak abang jadi persis Umar, tegas dalam mewarnai rumah tangga yang baru seputik jagung. Bawalah diri ini merasai manisnya cinta."

"Insya Allah, semoga sayang juga sentiasa menjadi sakinah (ketenangan) pada hati abang, sabarlah melayan kerenah abang ya. Semoga syurga dunia ini membawa kita hingga syurga akhirat. Ameen..."

Diam dan sunyi, kami sama-sama enak di bawa aroma segar embun Kota Madinah. Dengan hamparan sejadah mengadap kiblat, kami hanyut dengan al-Khaliq, Pemberi cinta kepada kami.

[4]

"Abang, kenapa rambut sayang keras macam ni ye?"

Tergelak sang kekasih hati dengan soalan aku yang baginya seperti lurus bendul.

"Kalau sayang nak tahu, di Mekah ni menggunakan air laut dan disuling kemudian disalirkan melalui paip dan sayang mandi tu dengan air laut. Sebab itu rambut sayang jadi keras! Insya Allah, nanti abang usahakan supaya rambut sayang tak keras macam meggi ni ye. Syukur perut abang kenyang, kalau tidak rambut sayang pun abang rebus macam meggi."

"Bukan meggi la, ini spagheti... Bolognese! Hehehe..."

"Abang kenal meggi je, abang tak berkenalan dengan spegheti apatah lagi bolognese."

[5]

"Encik, insya Allah sebelum balik ke Malaysia nanti pihak kami akan membekalkan setiap seorang jemaah dengan 1 tong air zam-zam 10 liter. Encik tak perlu beli, tetapi kalau encik nak bawa banyak, iya tak apa."

Mutawif menyapa melihat suamiku membawa 2 tong air zam-zam 10 liter. Suamiku hanya tersenyum dan duduk bersama mutawif.

"La, ana nak mandikan zaujah dengan air zam-zam."

Aku melemparkan pandangan mata jauh ke lantai.

"Oh, begitu ya. Air di sini dari air laut, mungkin kurang selesa. Iya, air zam-zam juga enak." Mutawif tersenyum dengan kata-kata suamiku, habibi qalbi.

"Tidak ustaz, zaujati kanser darah dan insya Allah ini ikhtiar kami. Nak mandi air zam-zam di masjid, mungkin tidak sesuai. Jadi, ana beli air zam-zam yang dijual kanak-kanak di luar masjid."

Suamiku masih tersenyum.

"Subhanallah, maafkan ana. Semoga cepat sembuh, insya Allah berkat air zam-zam menjadi penawar segala sakit lahir batin." Dialek Indonesia masih bersisa walaupun sehari-harian bergaul dengan jemaah Malaysia. Berkat makan tempe barangkali.

Di dalam lift, suami masih tersenyum.

"Sayang jangan kecil hati ye..."

Aku menggeleng, mana mungkin aku berkecil hati. Suami ku saja berbesar hati dengan ujian ini, aku lebih-lebih lagi perlu berlapang dada.

[6]

"Sayang, lift penuh la. Abang angkat sayang saja ye... Lagipun sekarang memang waktu makan, ramai jemaah balik (hotel) untuk makan, kita naik tangga ye."

Aku hanya mampu tersenyum, hadiah buat suami yang bersusah payah menjaga kebajikan aku. Semasa menunaikan umrah kali ke-2 aku benar-benar keletihan dan tidak mampu berjalan, sa'ei saja suamiku dengan rela hati menolak aku di atas kerusi roda. Ya Habibi, peliharalah zauji.. Semoga dia peroleh kesabaran atas ujian Mu.

Tanpa menghiraukan para jemaah lain, suamiku mendukung dan menapak ke atas anak tangga, bilik kami di tingkat 3 dan Abang masih lagi tersenyum setiap kali menapak di atas setiap anak tangga. Hati aku sedikit tercalar, di awal perjalanan rumah tangga lagi kami di uji. Jemaah lain yang datang bersama kami dari Malaysia juga maklum keadaan aku setelah melihat aku pucat lesi didukung Abang.

"Alhamdulillah, dah sampai. Nanti, sayang jangan lupa mandi dengan air zam-zam. Baca selawat Syifa' dan doa mudah-mudahan sayang kuat dan sihat. Insya Allah. Ikhtiar, sayang kena yakin dengan Allah. Air zam-zam hanya asbab tetapi sebagai hamba kita kena ikhtiar."

Satu demi satu gayung air zam-zam menyiram tubuh lemah aku, setitis air mata mengalir. Entah kenapa aku merasakan sesuatu, kasih sayang yang tebal dari seorang lelaki yang baru sebulan aku kahwini. Aku merasakan Allah terlalu dekat, diberikan ujian tetapi tidak biarkan aku keseorangan di dunia ini. Allah bekalkan aku dengan insan-insan yang tak jemu memberi inspirasi untuk aku bangkit, Allah kurniakan aku seorang lelaki yang begitu penyabar melayan kerenah aku.

[7]

"Alhamdulillah, sayang nampak sihat. Banyakkan zikir dan bersyukur pada Allah. Allah terima doa kita. Sayang nak tahu kenapa abang begitu yakin untuk berkahwin dengan sayang?"

Aku masih memegang mushaf al-Quran. Aku tidak ada jawapan, aku tidak tahu apa yang membuat Abang yakin dengan aku untuk berada disisinya.

"Sebenarnya, masa abang buat haji. Abang duduk depan kaabah dan abang renung kaabah dalam-dalam, kemudian abang tertidur di tiang. Abang rasa macam lama sangat abang tidur, bangun tidur abang ambil wuduk dan membaca al-Quran. Semasa abang membuka lembaran pertama, surah ar-Ruum ayat 21 yang abang baca.

'Dan diantara tanda-tanda kekuasaan Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.'

Kemudian sebelum abang melanjutkan pada ayat ke 22, abang disapa seorang lelaki tua. Dia bertanya; "Anak ni pelajar ke?" Kami pun bersembang, ramah sangat kemudian dia katakan pada abang; "Moga mendapat isteri dari kalangan solehah yang sentiasa bersabar dengan ujian, ketenangan akan datang dari isteri solehah. Sakinah itu syurga dunia!"

Kerana itu abang mahu Sakinah menjadi syurga abang..."

Aku tersenyum, abang masih dengan sikapnya yang ceria. Mudah tersenyum hingga aku yang kepenatan juga turut terbawa-bawa sikap tersenyum abang.

"Abang tak menyesal? Sayang kan sakit."

"Sakit itu luaran sayang, selagi sayang bersabar dan kita ikhtiarkan bersama insya Allah selagi itu kita akan bersama. Di depan kaabah ini abang 'bertemu' dengan sayang dan di depan kaabah ini juga abang mahu kita bercinta sampai bila-bila, sampai syurga Allah."

[8]

"Sayang, luggage yang ada barang-barang untuk dihantar ke Malaysia kita asingkan sebaliknya beberapa hagah dan pakaian untuk 2 minggu kita asingkan ya."

"Kenapa nak hantar ke Malaysia? Kita kan memang nak balik Malaysia."

"Masya Allah, abang lupa nak bagitahu sayang. Ini..."

2 keping tiked diserahkan kepadaku. Flight dari Jeddah dan destinasinya adalah Kaherah.

"Kaherah?"

"Ye. Kaherah. Abang nak bawa sayang pergi Kaherah dulu, kalau sempat kita jalan di Iskandariah, Mansurah. Mana-mana yang sayang nak pergi. Sebab itu abang usaha juga angkut 20 liter air zam-zam setiap hari, sebab abang nak sayang siiiihat! Tak seronok berjalan kalau sayang lesu je. Abang pun jadi lesu, shot. Kuat sangat aura sayang."

Subhanallah. Aku terasa seperti mahu menjerit...!

'Terima kasih ya Allah.'

[9]

"Sayang... Di Kaherah, suasananya hiruk pikuk dengan lautan manusia dari macam-macam bangsa dan kerenah. Abang harap sayang tak 'culture shock', abang lebih selesa kalau sayang pakai niqab."

Berkerut dahi aku, niqab?!

"Kenapa kena pakai niqab?"

"Untuk jaga kesihatan sayang. Berhabuk. Kalau kita jaga kesihatan, kita dapat pahala kan?"

"Nanti orang ingat, cantik sangat ke sayang ni sampai pakai niqab. Malu lah."

"Niqab bukan kerana kita cantik, pakai niqab kerana Allah. Tapi, oleh kerana destinasi kita ialah Kaherah yang padat dengan ummat Muhammad tambahan pula berdebu jadi abang nak sayang pakai niqab. Mentaliti orang Melayu, orang berniqab ni orang yang cantik. Salah. Sebenarnya kalau wajah biasa-biasa atau pun tak secantik mana pun, tak salah berniqab. Itu adalah kerana tebal sifat malunya. Tetapi kalau memang cantik, maka niqab adalah lebih baik untuknya khuatiri dihinggapi fitnah dari lelaki-lelaki yang berpenyakit hati."

"Maksud lelaki-lelaki berpenyakit hati tu macammana?"

"Melihat wanita yang cantik sudah buat tak keruan, itulah penyakit hati. Bahkan, kalau sayang nak tahu kalau orang yang belajar ilmu i'rob ni, melihat pada wajah saja sudah boleh tahu apa yang ditutup oleh wanita."

"Ha...! Macammana?"

"Itulah ilmu i'rob, kelebihannya pada mereka yang meletakkan ilmu pada tempatnya. Tetapi ada juga yang salah menggunakan ilmu tersebut. Kalau ilmu i'robnya tinggi, hanya berdasarkan pada dahi seorang wanita yang berniqab sekalipun dia boleh tahu macammana wajah seorang perempuan."

"Ei... Takutnya."

"Sebab itu abang selesa kalau sayang berniqab di Mesir nanti. Boleh kan sayang?"

"Insya Allah."

"Abang dah beli niqab untuk sayang, 3 helai. Cukup rasanya."

"Tapi abang..."

"Aik, ada tapi pula... Apa yang tapi?"

"Kenapa di Madinah, di Mekah abang tak suruh sayang berniqab?"

"Sebab... Abang masih menyusun ayat. Nanti bila dah balik Malaysia, kalau sayang tak nak berniqab pun abang tak larang kerana biah di Malaysia tidak 'memaksa' sayang berniqab."

"Kalau sayang istiqamah?"

"Alhamdulillah... Bertambah tenanglah hati abang sebab orang ingat sayang ni hantu kum-kum. Tak siapa berani kacau sayang."

"Hantu kum-kum? Kenapa la mentaliti kita macam tu ya. Kalau singh memakai 'serban' walaupun ke sekolah tak pula mana-mana menteri nak bantah, tetapi kalau yang memakai serban itu adalah orang Islam, kecoh sampai ke mahkamah. Sama juga seperti tudung,kalau orang Islam memakai tudung keluar macam-macam istilah - islamiphobia la apa la. Tetapi, sister kristian tu hakikatnya 'berlilit' juga tak pula kecoh."

"Kerana... Dunia sudah tua. Islam datang dalam keadaan asing dan Islam akan pergi dalam keadaan asing, beruntunglah mereka yang asing itu. Moga kita di antara yang asing itu, ghuraba'. Insya Allah, ameen."

[10]


Ya Rabbi...
Ya Rahman...
Ya Rahim...

Biarkanlah kami bercinta sehingga mata terpejam rapat buat selamanya. Seandainya perpisahan dunia ini adalah mahar syurga Mu, pertemukanlah kami di daerah alam abadi. Tiada cinta yang lebih hakiki selain cinta yang membawa kepada Mu.


[Rekod menulis : Jam 9.43 pagi - 11.15 pagi. Alhamdulillah]

p/s: Dedikasi buat semua yang sedang bercinta Smile

2[cerpen] Biarkan Kami Bercinta Empty Re: [cerpen] Biarkan Kami Bercinta Tue Nov 10, 2009 4:51 pm

munira alhashimi


Ahli Aktif
Ahli Aktif

Terima kasih..
ibu tumpang baca.
Anak kecil berbakat besar.

Back to top  Message [Page 1 of 1]

Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum