Diskusi : Memandang Wanita yang Hendak Dilamar
PANDANGAN ULAMA
Disebut dalam kitab التعامل المشروع للمرأة مع الرجل الجنبي (hubungan lelaki dan perempuan bukan mahram yang dibenar oleh syara') ada menyebut:
"Disunatkan seorang lelaki memandang kepada wanita yang hendak dinikahinya sebelum pertunangan."
Ibnu Quddamah (ulama mazhab Hambali) berkata:
"Kami tidak mengetahui ada perselisihan para ulama pada pengharusan memandang perempuan yang hendak dikahwininya."
Imam Nawawi (ulama mazhab Syafie) dalam kitabnya منهاج الطالبين :
"Apabila ingin menikahi seorang wanita disunatkan memandang wanita tersebut sebelum melamarnya."
DALILNYA
Abu Hurairah ra berkata:
كنت عند النبي صلى الله عليه وسلم فأتاه رجل فأخبره أنه تزوج امرأة من الأنصار فقال له رسول الله صلى الله عليه وسلم : أنظرت إليها؟
قال : لا . قال : فَاذْهَبْ فَانْظُرْ إِلَيْهَا فَإِنَّ فِي أَعْيُنِ الْأَنْصَارِ شَيْئًا
Aku bersama Nabi saw, lalu datang seorang lelaki memberitahu bahawa dia ingin mengahwini seorang wanita Ansar. Lalu baginda saw bertanya: Adakah kamu sudah melihatnya? lelaki itu menjawab: Belum. Baginda saw bersabda : Pergilah engkau melihatnya. Sesungguhnya pada mata wanita ansar terdapat sesuatu." (HR Muslim - sahih)
Ulama berselisih pendapat apakah yang ada pada mata wanita ansar. Ada yang mengatakan mata yang kecil dan ada yang mengatakan kebiruan matanya.
Rasulullah saw bersabda:
إِذَا خَطَبَ أَحَدُكُمْ الْمَرْأَةَ فَقَدَرَ عَلَى أَنْ يَرَى مِنْهَا مَا يُعْجِبُهُ فَلْيَفْعَلْ
"Apabila salah seorang kamu hendak melamar seorang wanita dan dia mampu untuk melihat wanita tersebut untuk menambahkan minatnya terhadap wanita tersebut maka hendaklah dia lakukannya." (HR Hakim - hasan)
TUJUANNYA
Seperti hadis lepas, tujuannya untuk menambah minat dan bertambah kasih selain dari untuk mengenal paras rupanya. Nabi saw bersabda:
انظر إليها فإنه أحرى أن يؤدم بينكما المودة والألفة
"Lihatlah dia kerana sesungguhnya ia akan lebih mengekalkan kasih sayang dan keserasian." (HR Tirmizi)
ADAKAH DISYARATKAN IZIN WANITA TERSEBUT?
Imam Nawawi berkata:
Mazhab kami (Syafie), mazhab Malik, Ahmad dan kebanyakan para ulama tidak mensyaratkan persetujuan wanita itu untuk mengharuskan memandangnya. Malahan boleh melihatnya ketika dia tidak sedar bahawa dia sedang diperhatikan.
Dalilnya adalah Rasulullah menyuruh perempuan itu dilihat tanpa mensyaratkan kepada keizinan perempuan tersebut. Ditambah lagi apa yang dilakukan oleh perawi hadis itu iaitu Jabir ra seperti mana yang dinyatakan oleh beliau:
"Sesungguhnya aku ingin meminang seorang wanita dari kalangan bani salamah,. Lalu aku telah bersembunyi disebalik batang pohon kurma dan aku telah melihat sebahgian anggota wanita tersebut yang menyebabkan aku menyukainya. Kemudian aku melamarnya dan aku berkahwin dengannya." (HR Hakim -hasan)
Terdapat dalil yang jelas yang untuk tidak perlu meminta izin wanita tersebut. Ia adalah hadis dari Abu Humaid ra, Rasulullah saw bersabda:
إذا خطب أحدكم المرأة فلا جناح عليه أن ينظر إليها إذا كان إنما ينظر إليها لخطبته وإن كانت لا تعلم
"Apabila sesorang dikalangan kamu hendak melamar tidak salah untuk dia melihat wanita tersebut, sekiranya tujuan dia melihat hanyalah untuk melamar. Ia dibenarkan sekalipun tanpa pengetahuan wanita tersebut." (Hr Ahmad - sahih)
ANGGOTA YANG BOLEH DILIHAT
Para ulama berselisih pendapat terhadap anggota yang boleh dilihat selain muka. Ibnu Quddamah berkata:
"Tidak ada perselisihan pendapat pada pengharusan melihat wajah wanita yang ingin dilamar, ini kerana ia adalah pusat kecantikan."
Adapun anggota yang lain adalah seperti berikut:-
1. Mazhab Syafie dan Maliki: Muka dan tapak tangan. Imam Nawawi berkata:
"Ini kerana muka menunjukkan kepada kecantikan atau tidak. Manakala tapak tangan menunjukkan kepada badan yang berisi atau tidak."
2. Mazhab Hanafi: Muka, tapak tangan dan kaki (bawah buku lali).
3. Mazhab Hambali: Anggota yang dilihat semasa wanita berkerja iaitu ada enam 1. muka 2. leher 3. tangan 4. kaki (bawah buku lali) 5. kepala. 6. betis.
ADAKAH BOLEH MELIHAT DENGAN SYAHWAT?
Ulama mazhab Hanafi, Maliki dan Syafie tidak mensyaratkan disyariatkan untuk melihat wanita yang hendak dilamar perlu selamat dari fitnah atau tanpa syahwat ketika melihatnya. Oleh itu boleh melihat dalam keadaan ada syahwat atau boleh menimbulkan fitnah.
BANYAK MANA BOLEH LIHAT?
Dalam kitab مغني المحتاج (kitab yang menjadi antara rujukan utama dalam mazhab Syafie) karangan Syeik Khotib as-Syarbini ada menyebut:
"Lelaki yang hendak melamar boleh melihat berulang kali wanita tersebut sekiranya ia perlu sehinggalah jelas paras paras rupa perempuan tersebut supaya dia tidak menyesal selepas mengahwininya."
Imam Zarkasyi (ulama mazhab syafie berkata):
Para ulama tidak menyebut tentang berapa kali boleh tengok. Kemungkinan ditetapkan 3 kali kerana biasanya ia sudah cukup untuk mengetahui paras rupanya secara jelas. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah ra, Nabi saw bersabda:
أريتك في ثلاث ليال
"Aku bermimpi melihatmu (Aisyah) dalam mimpi selama tiga malam." (HR Muslim - sahih)
Pendapat yang lebih diterima adalah ialah tidak ditetapkan berapa kali dan bergantung keperluan.
PEREMPUAN MELIHAT LELAKI YANG INGIN DIKAHWINI
Seperti dibenarkan lelaki untuk melihat wanita yang ingin dikahwini, begitu juga perempuan dibenarkan untuk melihat lelaki yang ingin dikahwininya.
Perhatian: Kebenaran hanya pada melihat tanpa ada berkhalwat, memegang dan seterusnya. Ini jelas perkara yang haram walaupun sudah bertunang.
MELIHAT GAMBAR
Ini semua adalah hukum melihat rupa paras yang sebenar. Melihat gambar lebih dibenarkan. Seperti disebut oleh Ibnu hajar dalam kitabnya فتح الباري sebuah hadis riwayat al-Ajiri dari Aisyah:
لقد نزل جبريل بصورتي في راحته حين أمر رسول الله صلى الله عليه وسلم أن يتزوجني
"Sesungguhnya Jibril as telah turun dengan gambarku yang berada di tapak tangannya, ketika baginda diperintahkan untuk mengahwiniku."
KESIMPULAN: Ini adalah untuk mengetahui rupa paras yang zahir. Perkara utama dalam memilih pasangan adalah agama dan akhlak. Ia diketahui dengan cara merisik.
Rujukan: Mughnil Muhtaj oleh Syarbini, Fathul Bari oleh Ibnu Hajar Asqalani, Mausuah Feqhiah oleh ulama Kuwait, Ta'amul Masyru' oleh Nabilah Zaid dan Mausu'ah Ahkamur Marah al-Muslimah.