Komuniti Al-Insyirah

islamic finance, banking, career, peace.

Ruang Download Section dah dibuka, sila gunakan sebaiknya
Similar topics

    You are not connected. Please login or register

    [Cerpen] Ibu Misali.

    View previous topic View next topic Go down  Message [Page 1 of 1]

    1 [Cerpen] Ibu Misali. on Mon Mar 02, 2009 5:19 pm

    dheadz


    Admin
    Admin
    IBU MISALI

    PENERIMA ketiga berjalan perlahan-lahan turun dari pentas. Di lehernya,
    telah terkalung pingat "Ibu Misali". Tangan kanannya menggenggam erat
    satu sampul dan segulung sijil. Tangan kirinya pula memegang beberapa hadiah
    iringan. Anaknya setia melangkah di sisi.

    "Sekarang ...," suara pengacara majlis bergema kembali, "Tibalah kita
    kepada penerima anugerah "Ibu Misali" yang terakhir. Penerima ini agak
    lain daripada yang lain dan sungguh istimewa. Untuk itu, dipersilakan Puan
    Afifah Rashid naik ke pentas bersama- sama Cik Nurul Humairah, untuk
    tampil memperkenalkan ibunya. Dipersilakan. "

    Mataku tercari-cari pasangan ibu dan anak yang bakal mengambil tempat
    itu. Di barisan penonton paling hadapan, aku dapati seorang anak gadis
    berkulit hitam manis dan bertubuh tinggi lampai, sedang berusaha memujuk seorang
    wanita dalam lingkungan usia 60-an untuk bangun.

    Aneh, kenapa ibu yang seorang ini nampaknya begitu keberatan untuk naik
    ke pentas? Kenapa dia tidak seperti tiga orang penerima sebelumnya, yang
    kelihatan begitu bangga menapak naik ke pentas, sebaik sahaja mereka
    dijemput?

    Hampir lima minit kemudian, barulah tampak si anak gadis yang memakai
    sepasang kebarung bertanah ungu dan berbunga merah jambu serta bertudung
    ungu kosong, bersusah payah memimpin ibunya naik ke pentas.

    Ibu itu pun menduduki kerusi yang telah diduduki oleh tiga orang
    penerima sebelumnya. Anak gadis itu kemudiannya beredar ke pembesar suara. Dia
    beralih pandang kepada ibunya yang hanya tunduk memerhati lantai pentas.

    'Pelik sungguh ibu yang seorang ini. Lagaknya bukan lagak orang yang
    akan menerima anugerah. Dia tak ubah seperti seorang pesalah yang sedang
    menanti hukuman. Duduknya serba tak kena. Sekejap beralih ke kanan, sekejap
    berpusing ke kiri. Tangannya menggentel-gentel baju kurung biru muda
    yang dipakainya.'

    Dehem si anak dalam pembesar suara membuat aku sedikit tersentak.
    Tumpuanku yang sekian lama terhala ke pentas, aku alihkan pada buku
    notaku. Aku menconteng-conteng helaian yang masih putih bersih itu untuk
    memastikan penku dalam keadaan yang baik. Kemudian, aku memeriksa kameraku.
    Filemnya masih ada. Baterinya masih dapat bertahan.

    Sempat juga aku mengerling rakan-rakan wartawan dari syarikat akhbar dan
    majalah lain yang duduk di kiri kananku. Nampaknya, pen sudah berada
    dalam tangan masing-masing. Mata mereka sudah terarah kepada ibu di atas
    pentas dan anak yang sudah pun memulakan bicaranya dengan bismillah dan,
    memberi salam.

    Aku tersenyum dan mengangguk kepada rakan- rakan wartawan yang duduk
    semeja denganku. Tetapi, senyuman dan anggukanku sudah tidak sempat mereka
    balas. Aku lantas mengemaskan dudukku mencari posisi yang paling selesa.

    "Pertama sekali, saya ingin memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah,
    kerana dengan izin-Nyalah saya dan, mak berada dalam majlis yang
    gilang-gemilang ini. Seterusnya, saya ingin merakamkan penghargaan saya kepada pihak
    penganjur yang telah mempertimbangkan mak saya sebagai, salah seorang
    penerima anugerah "Ibu Misali" tahun ini."

    Suasana menjadi sunyi. Hadirin memberi tumpuan sepenuhnya kepada
    percakapan gadis itu.

    "Sebetulnya, ketika saya kecil, saya memang membenci mak. Darjah
    kebencian itu meningkat setelah saya mendapat tahu Puan Afifah hanyalah mak angkat
    saya. Pada masa yang sama, saya merasakan sayalah anak yang paling
    malang, disisihkan oleh ibu sendiri, dan diperhambakan pula oleh mak angkat
    untuk membantu menjaga anak-anak kandungnya"

    "Membantu menjaga anak- anak kandungnya? Mungkin, persoalan itu sedang
    pergi balik dalam benak tuan-tuan dan puan-puan sekarang. Persoalan itu
    pasti akan terjawab sebentar lagi, apakala saya mempertontonkan rakaman
    video yang memaparkan kehidupan anakanak kandung mak. Sebelum itu, saya
    harus menegaskan bahawa anak-anak yang bakal hadirin lihat nanti bukan
    terdiri daripada doktor, peguam, jurutera, pensyarah, ahli perniagaan,
    pemimpin masyarakat, dan guru, seperti mana anak ketiga-tiga "Ibu
    Misali" yang baru menerima anugerah sebentar tadi."

    Suara hadirin yang kehairanan mula kedengaran.
    "Inilah dia abang-abang dan kakak- kakak saya!" suara hadirin semakin
    kedengaran. Mereka tidak dapat membendung rasa kekaguman.

    "Yang mengeluarkan berbagai-bagai bunyi itu, Abang Long. Yang sedang
    merangkak ke sana ke mari itu, ialah Kak Ngah. Yang sedang mengesot ke
    ruang tamu itu, ialah Abang Alang. Yang sedang berjalan sambil berpaut
    pada dinding itu, ialah Kak Anjang. Yang sedang berjalan jatuh dari dapur ke
    dalam bilik itu, ialah Abang Andak."

    "Seperti yang tuan-tuan dan puan-puan saksikan, tahap kecacatan fizikal
    dan mental abangabang dan, kakak-kakak saya tidak sama. Daripada yang tidak
    boleh bercakap dan bergerak langsung, seperti bayi yang baru lahir
    hinggalah kepada yang boleh berjalan jatuh dan, bercakap pelat-pelat,
    seperti budak berumur satu atau, dua tahun."

    Hadirin yang sebentar tadi bingit suaranya kini terdiam kembali. Mereka
    menonton video yang sedang ditayangkan itu dengan khusyuknya.

    "Untuk pengetahuan semua, abang-abang dan kakak-kakak saya, telah
    menjangkau usia 20-an dan, 30-an. Namun, meskipun telah dilatih dengan
    sungguh-sungguh, mereka masih belum pandai mengurus makan minum dan
    berak kencing mereka sendiri. Lihatlah betapa sukarnya mak hendak melayan
    makan dan, pakai mereka."

    "Sewaktu saya berusia enam atau, tujuh tahun, saya sering mencemburui
    abang-abang, dan kakak-kakak kerana mereka, mendapat perhatian istimewa
    daripada mak. Saya iri hati melihat mak memandikan mereka. Saya sakit
    hati melihat mak menyuap mereka. Sedang saya disuruh buat semua itu sendiri."

    "Mirah dah besar, kan? Mirah dah boleh uruskan diri Mirah sendiri, kan?"
    Lembut nada suara mak tiap kali dia memujuk saya. Namun, kelembutan itu
    telah menyemarakkan api radang saya.

    "Tapi, mak tak adil!" Saya kerap membentak. "Mak buat segalagalanya
    untuk kakak- kakak dan abang- abang. Kalau untuk Mirah, mak selalu berkira!"

    "Mirah, abang-abang dan kakak-kakak Mirah tidak secerdas Mirah. Mereka
    cacat!" Berkali-kali mak menegaskan kepada saya. "Sebab itulah mak
    terpaksa membantu mereka."

    "Mereka cacat apa, mak?" Saya membeliakkan mata kepada mak. "Semua
    anggota mereka cukup. Kaki dan tangan mereka tidak kudung. Mata mereka tidak
    buta. Yang betulnya, mereka malas, mak!"

    "Mirah ... Mirah belum faham, sayang." Suara mak akan menjadi sayu tiap
    kali dia mempertahankan kakak-kakak dan abang-abang saya. Tetapi,
    kesayuan itu tidak pernah mengundang rasa simpati saya.

    "Apabila difikirkan kembali, saya merasakan tindakan saya itu terlalu
    bodoh. Abang-abang dan kakak-kakak tak pernah kacau saya. Mak pun cuma
    sekali-sekala saja meminta bantuan saya menyuapkan mereka makan atau
    menukar kain lampin mereka. Itu pun saya tidak pernah ikhlas menolong.
    Saya akan merungut tidak henti-henti sepanjang masa saya melakukan itu.
    Jika makanan yang saya suap tumpah atau jika abang-abang dan kakak-kakak
    terkencing atas tangan saya, ketika saya sedang menyalin kain lampin
    mereka, tangan saya ringan saja mencubit atau menampar mereka. Saya tahu
    mereka tidak pandai mengadu perbuatan jahat saya kepada mak. Ketika itu,
    memang saya langsung tidak punya rasa hormat kepada abang-abang dan
    kakak-kakak. Kepada saya, kehadiran mereka menyusahkan hidup saya."

    "Hantarlah abang-abang dan kakak-kakak ke rumah kebajikan, mak." Saya
    pernah mengusulkan kepada mak, ketika saya berusia sepuluh tahun.
    "Lepas itu, mak dan ayah boleh hidup senang-lenang macam mak dan ayah
    orang lain. Mirah pun takkan rasa terganggu lagi."

    "Mereka anak-anak mak, Mirah. Jadi, maklah yang patut jaga mereka, bukan
    petugas-petugas di rumah kebajikan." Begitu reaksi mak setiap kali saya
    mencadangkan hal itu.

    "Saya langsung tidak menghormati, apatah lagi mengagumi pendirian mak.
    Mak memang sengaja menempah masalah. Mak tidak menghargai jalan keluar
    yang telah sedia terentang di hadapannya."

    "Rasa geram dan marah saya sampai ke puncaknya, semasa saya berusia dua
    belas tahun. Pada hari itu, mak demam teruk hingga tidak dapat bangun.
    Ayah terpaksa ambil cuti untuk membawa mak ke klinik. Lalu, saya ditinggalkan
    untuk menjaga abang-abang dan kakak-kakak di rumah.
    Sebelum meninggalkan rumah, biarpun dalam keadaan yang lemah,
    berkali-kali mak sempat berpesan kepada saya, agar jangan lupa memberi abang-abang
    dan kakak-kakak makan, dan menukar kain lampin mereka."

    Suasana dewan terus sunyi. Hadirin masih khusyuk mendengar cerita gadis
    itu.

    "Itulah kali pertama saya ditinggalkan bersama-sama abang-abang dan
    kakak-kakak, selama lebih kurang lima jam. Jangka masa itu cukup
    menyeksakan. Kebetulan pada hari itu, abang-abang dan kakak-kakak
    benar-benar mencabar kesabaran saya. Entah mengapa Abang Long enggan
    makan. Jenuh saya mendesaknya. Abang Alang dan Kak Ngah pula asyik mencirit
    saja. Letih saya menukar kain lampin mereka. Abang Andak pula, asyik main air
    ketika saya memandikannya. Basah lencun baju saya dibuatnya. Kak Anjang
    pula, asyik sepahkan nasi dan tumpahkan air. Penat saya membersihkannya. "

    "Apabila mak dan ayah pulang, saya sudah seperti kain buruk, tubuh saya
    lunyai. Saya sudah tidak berupaya melihat muka mak dan ayah. Saya terus
    melarikan diri ke rumah ibu kandung saya, yang terletak di sebelah rumah
    mak. Begitulah lazimnya. Apabila fikiran saya terlalu kacau, saya akan
    ke rumah ibu untuk mencari ketenangan."

    "Ibu!" Saya menerpa masuk lalu memeluk ibu. "Kenapa ibu bagi Mirah
    kepada mak? Kalau ya pun ibu tidak suka Mirah, bagilah Mirah pada orang lain
    yang lebih menyayangi Mirah, bukan mak."

    "Mirah!" Ibu merangkul saya. "Kan dah berkali-kali ibu tegaskan yang ibu
    bagi Mirah kepada mak bukan kerana ibu tak sayang Mirah."

    "Lazimnya ibu akan membuka kembali lipatan sejarah hidupnya apabila
    situasi itu berlaku. Ibu ialah kakak mak. Ibu sakit teruk setelah melahirkan
    saya. Selama berbulan-bulan ibu terlantar di hospital, mak yang telah menjaga
    saya. Setelah ibu sembuh, ibu dapat lihat sendiri betapa gembiranya mak
    dapat menjaga seorang anak normal.

    Justeru, ibu tidak sampai hati hendak memisahkan kami."

    "Ibu telah berasa betapa nikmatnya menjaga tujuh orang anak yang pintar
    dan cerdas. Jadi, biarlah nikmat itu turut dirasakan oleh mak pula dengan
    menjaga Mirah. Lagipun, dengan menyerahkan Mirah kepada mak, ibu masih
    dapat melihat Mirah membesar di hadapan mata ibu, walaupun Mirah tinggal
    bersama-sama mak. Dari pemerhatian ibu, ibu rasa, mak lebih menyayangi
    Mirah berbanding dengan anak anaknya yang lain."

    "Sayang apa? Ibu tahu tak yang rumah tu macam neraka bagi Mirah? Ibu
    tahu tak yang Mirah ni tak ubah seperti hamba di rumah tu?"

    "Jangan besar-besarkan perkara yang kecil, Mirah. Ibu tahu sekali-sekala
    saja mak membebankan Mirah dengan kerja-kerja rumah dan tugas menjaga
    abang-abang dan kakak-kakak Mirah. Itu pun Mirah buat tidak sesungguh
    hati. Nasi mentahlah, lauk hanguslah, abang-abang, dan kakak-kakak kena
    lempanglah."

    "Mak adu semua kepada ibu, Ya?" Saya masih mahu berkeras meskipun saya
    tahu saya bersalah.

    "Mak jarang-jarang mengadu keburukan Mirah kepada ibu. Ibu sendiri yang
    kerap mengintai Mirah dan melihat bagaimana Mirah melaksanakan suruhan
    mak."

    "Saya tunduk. Saya sudah tidak sanggup menentang mata ibu."

    "Ibu malu, Mirah. Ibu mengharapkan kehadiran Mirah di rumah mak kau itu
    dapat meringankan penderitaan mak.

    Tetapi, ternyata kehadiran Mirah di rumah itu menambahkan beban mak."

    "Saya benar-benar rasa terpukul oleh kata-kata ibu."


    _________________
    Manusia selalu heboh mencari sesuatu yg bakal ditinggalkan, tapi tak heboh utk menyiapkan sesuatu yg bakal dibawa… Mari kita persiapkan diri dengan bekalan yang sepatutnya dibawa ke alam sana nanti. Wink

    2 Re: [Cerpen] Ibu Misali. on Mon Mar 02, 2009 5:20 pm

    dheadz


    Admin
    Admin
    Sambungan...

    "Ibu rasa, apa yang telah mak beri kepada Mirah, jauh lebih baik
    daripada apa yang diberi kepada anak-anaknya sendiri. Mirah dapat ke sekolah.
    Kakak-kakak dan abang-abang Mirah hanya duduk di rumah. Mirah dapat
    banyak pakaian cantik. Sedang anak-anak mak yang lain pakaiannya itu-itulah
    juga. Setiap kali Mirah berjaya dalam peperiksaan, mak sungguh gembira. Dia
    akan meminta ibu tolong menjaga abang-abang dan kakak-kakak kerana dia nak
    lihat Mirah terima hadiah."

    "Saya tidak sanggup mendengar kata-kata ibu selanjutnya, bukan kerana
    saya tidak mengakui kesalahan saya, tetapi kerana saya benar-benar malu."

    "Saya meninggalkan rumah ibu bukan kerana berasa tersisih daripada ibu
    kandung sendiri, atau berasa kecewa sebab tidak mendapat pembelaan yang
    diharap- harapkan. Saya meninggalkan rumah ibu dengan kesedaran baru."
    "Sesampainya saya ke rumah tempat saya berteduh selama ini,saya dapati
    mak yang belum sembuh betul sedang melayan kerenah abang-abang dan
    kakak-kakak dengan penuh sabar. Saya terus menghilangkan diri ke dalam bilik kerana
    saya dihantui oleh rasa bersalah. Di dalam bilik, saya terus
    resah-gelisah. "

    "Mirah," panggilan lembut mak seiring dengan bunyi ketukan di pintu
    bilik saya. "Mirah."

    "Saya cepat-cepat naik ke atas katil dan memejam mata, pura-pura tidur."

    "Sejurus kemudian, terdengar bunyi pintu bilik saya dibuka. "Mirah dah
    tidur rupa-rupanya! Kesian. Tentu Mirah letih menjaga abang-abang dan
    kakak- kakak semasa mak, ke klinik siang tadi. Maafkan mak, sayang. Mak
    tahu Mirah masih terlalu muda untuk memikul beban seberat itu. Tapi,
    keadaan benar- benar terdesak pagi tadi, Mirah. Mak janji, lain kali mak
    tak akan kacau Mirah lagi. Mak akan meminta ibu atau orang lain menjaga
    abang- abang dan kakak-kakak kalau mak terpaksa tinggalkan rumah"

    Sepanjang mak berkata-kata itu, tangan mak terus mengusap-usap dahi
    saya. Suara mak tersekat-sekat. Saya terlalu ingin membuka mata dan menatap
    wajah mak ketika itu.

    "Mirah, mak tahu Mirah tak bahagia tinggal bersama-sama mak."

    Suatu titisan air mata gugur di atas dahi saya. Kemudian, setitik lagi
    gugur di atas pipi saya. Selepas itu, titisan-titisan itu kian rancak
    gugur menimpa serata muka dan leher saya.

    "Walau apa pun tanggapan Mirah kepada mak, bagi mak, Mirah adalah
    segala-galanya. Mirah telah menceriakan suasana dalam rumah ini. Mirah
    telah menyebabkan mak berasakan hidup ini kembali berharga. Mirah telah.
    ..."

    "Mak!" Saya lantas bangun lalu memeluk mak. Kemudian, tiada kata-kata
    yang lahir antara kami. Yang kedengaran hanyalah bunyi sedu-sedan dan esak
    tangis.

    Peristiwa pada hari itu dan, pada malamnya telah mengubah pandangan saya
    terhadap mak, abang-abang dan kakak-kakak. Saya mula merenung dan
    menilai keringat mak. Saya mula dapat menerima keadaan kakak- kakak dan abang-
    abang serta belajar menghormati dan, menyayangi mereka.

    Keadaan dewan menjadi begitu sunyi seperti tidak berpenghuni sejak gadis
    itu berbicara.

    Setelah meraih kejayaan cemerlang dalam peperiksaan penilaian darjah
    lima, saya telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah,
    di sebuah sekolah berasrama penuh. Saya telah menolak tawaran tersebut.

    "Kenapa Mirah tolak tawaran itu?"

    "Bukankah di sekolah berasrama penuh itu Mirah boleh belajar dengan
    sempurna?"

    "Betul tu, Mirah. Di sana nanti Mirah tak akan berdepan dengan gangguan
    daripada abang-abang dan kakak-kakak! "

    "Mirah tak menyesal ke, kemudian hari nanti?"

    Bertubi-tubi mak dan ayah menyoal. Mata mereka tidak berkelip-kelip
    memandang saya.

    "Mak, ayah." Saya menatap wajah kedua-dua insan itu silih berganti.

    "Mirah ingin terus tinggal di rumah ini. Mirah ingin terus berdamping
    dengan mak, ayah, abang-abang dan kakak-kakak. "

    "Tapi, boleh ke Mirah buat ulang kaji di rumah? Pelajaran di sekolah
    menengah itu, bukannya senang." Mak masih meragui keupayaan saya.

    "Insya-Allah, mak. Mirah rasa, Mirah dapat mengekalkan prestasi Mirah
    semasa di sekolah menengah nanti," balas saya penuh yakin.

    Mak dan ayah kehabisan kata-kata. Mulut mereka terlopong. Mata mereka
    terus memanah muka saya. Garis-garis kesangsian masih terpamer pada wajah
    mereka. Sikap mak dan ayah itu telah menguatkan azam saya untuk terus menjadi
    pelajar cemerlang, di samping menjadi anak dan adik yang baik.

    Selama di sekolah menengah, mak sedapat mungkin cuba membebaskan saya
    daripada kerjakerja memasak dan mengemas rumah, serta tugas menjaga
    makan pakai abang-abang dan kakak-kakak kerana takut pelajaran saya terganggu.
    Sebaliknya saya lebih kerap menawarkan diri untuk membantu, lantaran
    didorong oleh rasa tanggungjawab dan timbang rasa.

    Gadis yang bernama Nurul Humairah itu terus bercerita dengan penuh
    semangat, apabila melihatkan hadirin di dalam dewan itu mendengar
    ceritanya dengan penuh minat.

    "Saya terpaksa juga meninggalkan rumah sewaktu saya melanjutkan
    pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia. Di sana saya membuat pengkhususan
    dalam bidang pendidikan khas. Bidang ini sengaja saya pilih kerana saya ingin
    menabur bakti kepada segelintir pelajar yang kurang bernasib baik. Di
    samping itu, pengetahuan yang telah saya peroleh itu, dapat saya
    manfaatkan bersama untuk abang-abang dan kakak-kakak. "

    "Kini, telah setahun lebih saya mengharung suka duka, sebagai seorang
    guru pendidikan khas di kampung saya sendiri. Saya harus akui,segulung ijazah
    yang telah saya miliki tidak seberapa nilainya, berbanding dengan
    mutiara-mutiara pengalaman yang telah mak kutip sepanjang hayatnya."

    "Sekarang, saya lebih ikhlas dan lebih bersedia untuk menjaga
    abang-abang dan kakak-kakak. Pun begitu, hati ini sering tersentuh apabila beberapa
    kali saya terdengar perbualan mak dan Ayah."

    "Apa akan jadi kepada kelima-lima orang anak kita itu lepas kita tak
    ada, bang?" suara mak diamuk pilu.

    Ayah akan mengeluh, kemudian berkata, "Entahlah. Takkan kita nak
    harapkan Mirah pula?"

    "Mirah bukan anak kandung kita." Mak meningkah. "Kita tak boleh salahkan
    dia kalau dia abaikan abang-abang dan kakak-kakaknya."

    "Mirah nak tegaskan di sini, mak, yang Mirah akan membela nasib
    abang-abang dan, kakak-kakak lepas mak dan ayah tak ada. Ya, memang mereka bukan
    saudara kandung Mirah. Tapi, tangan yang telah membelai tubuh Mirah dan
    tubuh mereka adalah tangan yang sama. Tangan yang telah menyuapkan Mirah
    dan mereka, juga tangan yang sama. Tangan yang memandikan Mirah dan
    mereka, adalah tangan yang sama, tangan mak."

    Kelihatan gadis yang berkebarung ungu, berbunga merah jambu itu, tunduk
    sambil mengesat air matanya dengan sapu tangannya. Kebanyakan hadirin,
    khususnya wanita turut mengesat air mata mereka.

    Gadis itu menyambung bicaranya. Tiga bulan lalu, saya terbaca mengenai
    pencalonan anugerah "Ibu Misali" dalam akhbar. Saya terus mencalonkan
    mak, di luar pengetahuannya. Saya pasti, kalau mak tahu, dia tidak akan
    merelakannya. Saya sendiri tidak yakin yang mak akan terpilih untuk
    menerima anugerah ini, sebab anak- anak mak bukan terdiri daripada
    orang-orang yang disanjung masyarakat, seperti lazimnya anak- anak "Ibu
    Misali" yang lain.

    "Lorong dan denai kehidupan yang orang-orang seperti mak lalui mempunyai
    banyak duri dan, ranjau berbanding dengan ibu-ibu lain. Betapa keimanan
    mak tidak tergugat biarpun berdepan dengan dugaan yang sebegini hebat. Tiada
    rasa kesal. Tiada rasa putus asa. Tidak ada salah-menyalahkan antara mak
    dan ayah."

    "Maafkan Mirah sekali lagi, mak. Hingga ke saat- saat terakhir tadi, mak
    masih tidak menyenangi tindakan Mirah mencalonkan mak, untuk menerima
    anugerah ini. Mak merasakan diri mak terlalu kerdil lebih-lebih lagi
    setelah mak mendengar pengisahan "Ibu Misali" pertama, kedua dan ketiga.
    Berkali-kali mak tegaskan yang mak menjaga anak-anak mak bukan kerana
    mahukan anugerah ini, tapi kerana anak-anak adalah amanah Tuhan."

    "Saya ingin jelaskan di sini bahawa saya mencalonkan mak untuk anugerah
    ini, bukan dengan tujuan merayu simpati. Saya cuma berharap kegigihan
    dan ketabahan mak akan dapat direnung oleh ibu-ibu lain, terutama ibu-ibu
    muda yang senang-senang mendera dan mencampakkan anak mereka yang cornel,
    segar-bugar serta sempurna fizikal dan, mental."

    "Sebagai pengakhir bicara, sekali lagi saya ingin merakam penghargaan
    saya kepada pihak penganjur, kerana telah mempertimbangkan mak saya sebagai
    salah seorang penerima anugerah "Ibu Misali" tahun ini. Semoga pemilihan
    mak ini akan memberi semangat baru kepada ibu-ibu lain yang senasib
    dengan mak."

    "Sekian, wassalamualaikum warahmatullah. "

    Gadis itu beredar meninggalkan pembesar suara.

    Penku telah lama terbaring. Buku notaku telah lunyai dek air mataku
    sendiri. Bahuku dienjut-enjut oleh sedu- sedanku. Pandanganku menjadi
    kabur. Dalam pandangan yang kabur-kabur itu, mataku silau oleh pancaran
    cahaya kamera rakan semejaku. Aku segera mengangkat kameraku dan
    menangkap gambar secara rambang tanpa mengetahui sudut mana atau, apa sebenarnya
    yang telah menarik perhatian wartawan-wartanan lain.

    'Bertenang. Kau di sini sebagai pemberita. Kau seharusnya berusaha
    mendapat skop yang baik, bukan dihanyutkan oleh perasaan kau sendiri.'
    Terdengar pesanan satu suara dari dalam diriku.

    Lantas, aku mengesat air mataku. Aku menyelak buku notaku mencari
    helaian yang masih belum disentuh oleh air mataku. Aku capai penku semula.

    "Demikianlah kisah pelayaran seorang ibu di samudera kehidupan yang
    tidak sunyi dari ombak dan badai. Sekarang, dijemput Yang Berbahagia Puan Sri
    Salwa Najwa dengan diiringi oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan "Ibu
    Misali" untuk menyampaikan anugerah "Ibu Misali" serta beberapa hadiah
    iringan kepada Puan Afifah Rashid. Yang Berbahagia Puan Sri
    dipersilakan."

    Nurul Humairah membantu maknya bangun. Kemudian, dia memimpin maknya
    melangkah ke arah Yang Berbahagia Puan Sri Salwa Najwa. Lutut maknya
    menggeletar. Namun begitu kerana dia tidak berdaya menahan perasaannya
    dia terduduk kembali di atas kerusi.

    Melihatkan itu, Yang Berbahagia Puan Sri Salwa Najwa sendiri datang
    mendapatkan Puan Afifah, lalu mengalungkan pingat itu. Setelah itu,
    beliau menyampaikan beberapa hadiah iringan. Air mata Puan Afifah berladung.

    Tepukan gemuruh bergema dari segenap penjuru dewan. Sejurus kemudian,
    seorang demi seorang penerima anugerah "Ibu Misali" sebelumnya, naik ke
    pentas bersalaman dan berpelukan dengan Puan Afifah. Bertambah lebatlah
    hujan air mata penerima anugerah "Ibu Misali" yang terakhir itu.


    _________________
    Manusia selalu heboh mencari sesuatu yg bakal ditinggalkan, tapi tak heboh utk menyiapkan sesuatu yg bakal dibawa… Mari kita persiapkan diri dengan bekalan yang sepatutnya dibawa ke alam sana nanti. Wink

    3 Re: [Cerpen] Ibu Misali. on Tue Apr 21, 2009 6:01 pm

    haziman


    Ahli Senior
    Ahli Senior
    sedih siot..

    4 Re: [Cerpen] Ibu Misali. on Thu Apr 23, 2009 2:17 pm

    dheadz


    Admin
    Admin
    Kenapa sedih Haziman?

    P/s: lama tak nampak?


    _________________
    Manusia selalu heboh mencari sesuatu yg bakal ditinggalkan, tapi tak heboh utk menyiapkan sesuatu yg bakal dibawa… Mari kita persiapkan diri dengan bekalan yang sepatutnya dibawa ke alam sana nanti. Wink

    5 Re: [Cerpen] Ibu Misali. Today at 7:32 pm

    Sponsored content


    View previous topic View next topic Back to top  Message [Page 1 of 1]

    Similar topics

    -

    » Steve Grimmett

    Permissions in this forum:
    You cannot reply to topics in this forum